Ramai lagi tunggu giliran nak keluar? - Utusan Malaysia

Ramai lagi tunggu giliran nak keluar?

LEE ZII JIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) ‘menggantung’ Lee Zii Jia daripada sebarang kejohanan di bawah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selama dua tahun terpaksa diambil bagi memastikan kea­daan skuad kebangsaan tidak bertambah buruk.

Semalam, badan induk badminton negara itu mengambil keputusan yang sudah dijangkakan apabila enggan mendaftarkan nama Zii Jia dan seorang lagi bekas pemainnya, Goh Jin Wei daripada sebarang kejohanan untuk tempoh dua tahun.

Tindakan itu susulan keputusan Zii Jia mahu meninggalkan skuad kebangsaan dengan menghantar surat peletakan jawatan pada 11 Januari lalu.

Bekas jurulatih perseora­ngan negara, Datuk Rashid Sidek berkata, jika BAM tidak mengambil tindakan drastik seperti itu, ia hanya ‘membuka pintu’ kepada beberapa pemain lain yang difahamkan bersedia untuk bergerak secara profesional.

RASHID SIDEK

“Ada banyak implikasi bila Zii Jia keluar. Pertama, ia tidak bagus untuk penaja, kerana pakej penajaan juga biasanya datang sekali dengan pemain tertentu dan kedua, difahamkan ada beberapa pemain yang memantau situasi Zii Jia.

“Kalau dia dibenarkan keluar tanpa tindakan, akan ada pemain lain mengikut jejaknya dan pada akhirnya, BAM hanya akan menjadi seperti sekolah untuk melahirkan pemain.

“Memang keputusan itu satu kerugian untuk badminton ke­rana Zii Jia adalah pemain terbaik kita.

“Tahun ini ada ba­nyak kejohanan besar menanti seperti Piala Thomas, Sukan Komanwel dan Asia, manakala Sukan ­Olimpik (Paris 2024) tinggal dua tahun lagi.

“Bagaimanapun, bayangkan kesannya jika BAM membiarkan Zii Jia pergi begitu sahaja, ia tidak bagus untuk badminton dan skuad kebangsaan secara keseluruhan,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Menurut pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Atlanta 1996 itu, pada usia yang menjangkau 24 tahun 9 November nanti, beliau percaya pemain kelahiran Kedah itu masih mempunyai tempoh untuk bangkit sekembalinya dia daripada penggantungan.

Beliau tidak pasti ke mana haluan pemain No. 7 dunia itu, tetapi menyertai kem latihan yang diwujudkan juara Olimpik dan jaguh No. 1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di Dubai mungkin antara pilihan terbaik. 

“Mungkin dia boleh menyertai Axelsen di Dubai, berlatih ‘gila-gila’ dalam tempoh dua tahun dan kembali dengan lebih hebat. Contohi Kento Momota (digantung oleh Jepun kerana isu judi), dia kembali lebih kuat selepas tamat penggantungan. 

“Dia (Momota) tidak melawan persatuan, tetapi melawan dengan semangatnya di atas gelanggang. Zii Jia masih muda, potensinya amat besar dan ini bukan penamat segala-galanya,” kata Rashid. 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya