PETALING JAYA: Digugurkan daripada Program Podium tidak menamatkan karier jaguh lempar cakera negara, Abdul Rahman Lee, sebaliknya dia akan tetap gigih berlatih untuk memburu tempat serta pingat dalam Sukan SEA di Vietnam, Mei ini.
Rahman, 24, antara 21 atlet olahraga yang digugurkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) daripada Program Podium dan Pelapis Kebangsaan tahun kerana pemotongan bajet.
Kata atlet Sarawak itu, dia berlapang dada menerima berita tersebut, malah sudah bersedia jika namanya digugurkan kerana tidak mendapat kedudukan tiga terbaik dalam Sukan SEA Filipina 2019 yang lalu.
“Saya tidak meraih sebarang pingat pada Sukan SEA lalu, jadi saya juga tidak terkejut dengan pengumuman itu, malah saya sebenarnya okay.
“Saya juga mengalami kecederaan pangkal paha pada Oktober 2021 dan terpaksa melepaskan beberapa kejohanan.
“Saya faham jika MSN menggugurkan nama saya malah telah lama bersedia dengan kemungkinan keputusan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Abdul Rahman bagaimanapun bertuah kerana jurulatihnya di MSN, Ali Hamid akan tetap membantu menjalani latihan penuh di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang.
“Ini inisiatif jurulatih sendiri untuk melatih saya di luar waktu kerjanya di MSN. Saya akan berlatih di kampus saya belajar,” kata atlet berusia 24 tahun itu.
Bagi tahun ini, dia menyasarkan untuk ke Sukan SEA Vietnam melalui beberapa kejohanan.