PETALING JAYA: Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berterima kasih terhadap Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) yang memberikan kebenaran dan pelepasan pemain import dari Thailand untuk menyertai Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.
Naib Presiden PSM, Datuk Sumali Reduan berkata, kebenaran tersebut diharapkan dapat mengeratkan lagi kerjasama di antara PSM dan Astaf demi kebaikan semua pihak.
“Alhamdullilah, pihak Astaf hari ini secara rasmi memberi kebenaran dan pelepasan pemain import dari Thailand. Saya juga dimaklumkan pemain import negara lain turut akan dibenarkan bermain STL pada kali ini.
“PSM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Astaf di atas kebenaran ini dan berharap agar kerjasama erat di antara PSM dan Astaf akan kembali bertaut demi kebaikan semua pihak.
“Saya bersama rakan-rakan PSM berterima kasih atas jasa baik dan keprihatinan Presiden Astaf, Datuk Halim Kader dan jawatankuasa tertinggi Astaf dalam membuat keputusan ini.
Pada 1 Januari lalu, Sumali Reduan bersama Pemangku Presiden PSM, Datuk Akramuddin Azizi dan Setiausaha Agung PSM, Datuk Abidullah Salleh mengadakan perbincangan bersama pihak Astaf selama 2 jam melalui Aplikasi Zoom Meeting.
Perbincangan lebih ke arah penganjuran Kejohanan Liga Sepaktakraw 2021/22 yang akan berlangsung pada 07 Januari 2022 hingga 26 Mac 2022 di Kuala Lumpur, Kelantan, Pulau Pinang, Perak dan berakhir di Johor.
Pada mesyuarat tersebut, PSM telah merayu agar pemain import dari Thailand dan Negara lain dibenarkan bermain dan memohon agar pengadil di bawah naungan Astaf/Istaf dibenarkan mengadili STL 2021/22.