IPOH: Selepas tidak diadakan tahun lalu akibat pandemik Covid-19, peminat hoki tanah air bakal kembali disajikan dengan aksi hoki bertaraf antarabangsa apabila Piala Sultan Azlan Shah (SAS) akan dipertandingkan hujung tahun ini.
“Jika tiada aral melintang Piala Sultan Azlan Shah akan diadakan hujung tahun ini.
“Perkara ini dimaklumkan kepada saya oleh Presiden Konfederasi Hoki Malaysia ( MHC), Datuk Seri Subahan Kamal.
“Kini hanya menunggu titah perkenan daripada Tuanku Sultan Nazrin Shah,” kata Presiden Persatuan Hoki Perak (PHP), Mohd Sayuti Abdul Samat.
Sayuti yakin pasukan-pasukan handalan akan menyertai kejohanan itu memandangkan tarikhnya berdekatan dengan penganjuran Piala Dunia di India.
“Saya percaya mereka akan datang kerana biasanya pasukan-pasukan ini menjadikan Piala Azlan sebagai medan memanas badan sebelum ke sesuatu Kejohanan sebenar, “ujarnya.