KUALA LUMPUR: Perak Bison meraih kemenangan pertama selepas mengharungi dua perlawanan dalam aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022.
Bagaimanapun, juara Premier 2019 itu diheret dalam perlawanan sengit tiga set sebelum menundukkan naib juara Divisyen 1 musim lalu itu, Putrajaya Cyborg 21-17, 17-21, 21-19.
Perak Bison yang memasukkan pemain import, Anuwat Sombatdee untuk menggantikan Meor Zulfikar menyaksikan Anuwat lambat panas ‘enjin’ di set kedua sebelum berjaya membantu pasukan menang di set penentuan.
Apit Kiri Putrajaya Cyborg, Suhairi Sulaiman dikenakan kad kuning oleh pengadil selepas membantah keputusan pengadil.
Perak Bison akan berdepan cabaran lebih gentir minggu depan apabila bertemu juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder dan naib juara Premier musim lalu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians.