IPOH: Selepas mempamer prestasi tidak menentu dengan menang sekali dan kalah sekali dalam dua aksi pembukaan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 minggu lalu, Perak Bison perlu memasuki ‘gear 5’ apabila saingan kembali bersambung hari ini kerana bakal berdepan tugas yang amat getir.
Pendahulu liga, ATM Guardians menjadi lawan pertama menanti Bison di minggu kedua apabila kedua-dua pasukan berentap di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pukul 10 malam ini.
Anak-anak buah Suhairi Abd Aziz itu kemudian akan menentang juara berganda musim lalu, Kuala Lumpur (KL) Thunder pada pukul 5 petang, diikuti Johor Tigris pada 3 petang Ahad.
Perak, juara Premier 2019 membuka kempen dengan langkah sumbang apabila kalah 21-9, 14-21, 17-21 kepada Kelantan Warriors, namun bangkit dengan aksi lebih bertenaga ketika menumpaskan naib juara Divisyen 1 musim lalu itu, Putrajaya Cyborg 21-17, 17-21, 21-19.
“Semua pemain memberikan persembahan yang baik dalam kedua-dua perlawanan itu. Harap mereka mampu mengulangi rentak dan momentum sama,” kata pengurus pasukan Perak, Mohd. Jaffrey Zainol
Kata Jaffrey, pencapaian pasukan itu pada minggu pertama boleh dianggap memberangsangkan kerana mereka berjaya memberi tentangan hebat kepada Kelantan Warriors walaupun kalah dalam aksi pembukaan.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian pasukan. Pemain bermain habisan-habisan hingga kami beroleh kejayaan, namun berdepan ATM Guardians, KL Thunder dan Johor Tigris jauh lebih getir. Pasukan kena meningkatkan permainan.
“Pemain Perak Bison kena kekalkan semangat, disiplin kerjasama dan kesungguhan seperti dua perlawanan awal kami.
“Saya yakin Ketua jurulatih, Cikgu Suhairi sudah melakukan kerja rumah bagi menyediakan pemain untuk mengharungi minggu kedua ini,” katanya.