KUALA LUMPUR: Selepas kalah dalam enam daripada tujuh perlawanan terakhir, Johor Tigris akhirnya mengembalikan senyuman di wajah penyokong mereka apabila melakar kemenangan yang dicari-cari dengan menumpaskan Bomba Fighthers 2-0, sebentar tadi.
Bergelut di dasar liga sejak awal musim dengan hanya satu kemenangan diraih selepas tiga minggu Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 berlangsung, kemenangan 22-20, 21-9 di Stadium Titiwangsa hari ini pastinya mengembalikan keyakinan anak-anak buah Ahmad Jais Baharun untuk sekurang-kurangnya mencabar kelompok enam terbaik.
Mengakui sukar untuk mengejar kedudukan empat teratas, menamatkan saingan Premier dalam kedudukan enam pasukan terbaik mampu menjadi penawar kepada Harimau Selatan untuk meraih tiket ke Piala Juara-Juara yang akan diadakan di depan penyokong mereka di Johor.
Kemenangan itu juga pastinya menyuntik keyakinan Tigris sebelum menghadapi cabaran getir Penang Black Panthers dalam perlawanan terakhir minggu keempat pukul 10 malam esok.
Dalam aksi set pertama, skuad bimbingan Ahmad Jais itu dipaksa berhempas pulas oleh pendatang baharu Premier, Bomba Fighters sebelum beroleh kemenangan 22-20.
Permainan yang bersambung dalam set kedua bagaimanapun memihak kepada regu Tigris yang mendapat suntikan semangat penyokong yang sanggup datang dari Johor apabila menutup aksi dengan kejayaan mudah 21-9. – UTUSAN ONLINE