KUALA NERUS: Pengalaman lalu bersama Melaka United (MU) menjadi taruhan pemain kelahiran Jerman, Manuel Ott untuk segera menyesuaikan diri dengan pasukan baharu, Terengganu FC (TFC).
Katanya, perbincangan bersama ketua jurulatih, Mohd. Nafuzi Zain dalam sesi latihan sejak seminggu lalu menambah lagi keyakinan untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan musim ini.
Malah, menurutnya, barisan pemain Sang Penyu memiliki ramuan diperlukan untuk bergelar juara dengan adunan pemain muda berkualiti di samping khidmat tonggak import berpengalaman.
“Kita ada sasaran besar tahun ini dan tidak mustahil kami boleh mencipta kejayaan,” katanya ketika ditemui dalam sesi latihan di sini, semalam.
Pemain naturalisasi Filipina itu merekodkan enam gol dalam Liga Super dan Piala Malaysia musim lalu.
Ott berkata, keutamaannya adalah membantu skuad Terengganu FC mencapai sasaran dua tempat teratas Liga Super di samping menjuarai Piala FA.
“Intensiti latihan cukup tinggi dan semua pemain termasuk muka baharu masih mengenali antara satu sama lain. Saya rasa tempoh pra-musim cukup penting,” katanya.