LONDON: Pengurus Newcastle United, Eddie Howe dan pemain The Magpies dikejutkan dengan kehadiran pemilik kelab dalam bilik persalinan sejurus selepas dimalukan 0-1 oleh kelab Liga Satu, Cambridge United pada pusingan ketiga Piala FA kelmarin.
Jaringan Joe Ironside pada minit ke-56 memberi kemenangan dramatik buat Cambridge di depan Yasir Al-Rumayyan, pemilik Dana Pelaburan Awam yang memiliki 80 peratus saham Newcastle.
Rumayyan yang diiringi pengawal peribadi melawat bilik persalinan yang dalam kesedihan bersama Amanda Staveley dan suaminya, Mehrdad Ghodoussi yang memiliki 10 peratus saham.
Selepas memberi ‘ceramah’ kepada pemain, mereka kemudian bertemu Howe dan barisan kejurulatihan.
“Mereka datang untuk melihat pemain. Saya tidak berada di sana ketika itu dan tidak pasti apa yang diperkatakan kepada pemain, mereka kemudian bertemu saya dan seluruh barisan jurulatih serta pemain.
“Saya percaya mereka berada di belakang pasukan selepas melihat kesungguhan kami dalam perlawanan ini dan bagaimanapun pemain berjuang untuk kekal dalam Liga Perdana Inggeris. Saya berterima kasih untuk sokongan itu.
“Apa pun yang diperkatakan, saya percaya pemain mendengar dan memberi perhatian kerana perjalanan yang kami lalui sekarang serta perjuangan yang kami hadapi untuk kekal memerlukan usaha semua orang di kelab,” kata Howe.
Selain tersingkir dari Piala FA, Newcastle juga berada di ambang bahaya dalam Liga Perdana apabila menghuni kedudukan kedua tercorot. – AGENSI