IPOH: Perak Bison mendapat perangsang daripada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelang sepak mula Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur yang bermula esok.
Pertemuan dengan Ahmad Faizal atau Peja itu atas usaha pengurus pasukan. Mohd. Jaffrey Mohd. Zainol yang juga pegawai khas menteri.
Jurulatih Perak Bison, Suhairi Abd. Aziz yakin pertemuan itu akan menyemarakkan semangat anak-anak buahnya sebelum bertemu Kelantan Warriors, Sabtu ini, diikuti Putrajaya Cyborg pada Ahad.
“Kata-kata semangat dari Menteri Belia dan Sukan itu akan meningkatkan lagi semangat juang pasukan bagi menghadapi kejohanan ini.
‘Saya berharap pemain dapat memberikan tumpuan sepenuhnya di peringkat awal liga menentang pasukan Kelantan dan Putrajaya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurutnya, persiapan dari segi taktikal telah dilakukan dan semoga pemain dapat beraksi dengan baik pada kedua-dua perlawanan tersebut.
Suhairi, 47 berkata, semua pemain berada dalam keadaan yang baik dari segi fizikal dan mental untuk perlawanan tersebut,
“Seberapa yang boleh kami mahu membuat permulaan baik dalam dua perlawanan ini.
“Bagaimanapun Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat terdiri daripada beberapa orang pemain negara.
“Perlawanan ini (esok) pastinya tidak mudah, apapun kami akan mencuba defata upaya untuk mengutip mara penuh dalam perlawanan sulung kami ini, ” katanya.