MELBOURNE: Bintang tenis Perancis, Benoit Paire bernasib malang apabila positif Covid-19 sekali lagi, sekali gus mengancam peluangnya untuk beraksi pada Terbuka Australia.
Pemain No. 46 dunia itu sepatutnya menyertai kejohanan pemanas badan di Melbourne bermula Selasa depan, namun perancangannya kini terganggu.
Paire, 32, terpaksa menjalani kuarantin di lokasi yang tidak diketahui selepas diuji positif Covid-19, dan dia jelas muak dengan pengalaman pahit itu.
“Hai nama saya Benoit Paire, dan buat kali ke-250 saya diuji positif Covid!
“Sejujurnya saya tidak boleh berurusan dengan Covid ini sekali lagi. Bagaimana keadaan saya?
“Kerana Covid, saya mengalami hidung berair tetapi disebabkan kuarantin dihabiskan di bilik hotel di tengah-tengah dunia, saya tidak sihat secara mental.
“Tahun lepas memang sukar, dan tahun ini bermula dengan cara yang sama!” katanya dalam Instagram.
Kata Paire, dia sudah menerima vaksin penuh dan mengesahkan dirinya 100 peratus menyokong pengambilan vaksin.
“Saya 100 menyokong vaksin tapi saya harap kita dapat hidup pada zaman sebelum Covid, jika tidak, saya tidak nampak tujuannya (pengambilan vaksin,” katanya.
Undian utama Terbuka Australia akan bermula pada 22 Januari, meninggalkan Paire hanya mempunyai beberapa minggu untuk diuji negatif dan menilai sama ada cergas untuk bermain.
Paire sebelum ini pernah diketepikan pada Terbuka AS 2020 selepas disahkan positif Covid hanya beberapa hari sebelum perlawanan pertamanya.
Kemudian awal tahun lalu, dia terpaksa menjalani kuarantin 14 hari sebelum Terbuka Australia 2021 selepas seseorang dalam penerbangannya ke Melbourne disahkan positif. – AGENSI