SINGAPURA: Pengendali Indonesia, Shin Tae Yong mengkritik gelembung sukan yang disediakan tuan rumah Piala AFF 2020, Singapura yang dianggap telah mengganggu rehat pasukannya.
Biarpun memuji usaha yang dilakukan kerajaan dan Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS), namun jurulatih kelahiran Korea Selatan itu merasakan ada kekurangan dalam pelaksanaan sistem tersebut.
“Masalahnya ada ramai orang awam di tingkat kami, terutama di tingkat tujuh dan lapan. Ramai sekali dan situasi itu berbeza dengan apa yang diberitahu ketika kami baru tiba.
“Pada akhirnya, ada orang mabuk kerana ada pesta, majlis perkahwinan dan suasana sangat bising. Ia membuatkan rehat kami terganggu,” katanya.
Kemarin, Indonesia kempunan untuk menjulang kejuaraan Piala AFF buat kali pertama selepas tewas secara agregat 2-6 kepada Thailand dalam perlawanan akhir.
Biarpun cuba bangkit dengan mengikat skuad Gajah Perang 2-2 dalam final kedua, namun kekalahan 0-4 pada aksi pertama menyebabkan mereka gagal menyekat lawan daripada merangkul gelaran buat kali keenam.
Tae Yong juga kecewa dengan tindakan Singapura melarang empat pemain mereka beraksi dalam final kedua kerana melanggar peraturan gelembung dengan keluar dari hotel.
Rizky Ridho Ramadhani, Elkan Baggott, Victor Igbonefo dan Rizky Dwi Febrianto dilaporkan meninggalkan hotel sehingga dua jam, sekali gus melanggar peraturan ketat yang ditetapkan untuk pemain dan pegawai pasukan sepanjang kejohanan selama sebulan di Singapura.
“Saya perlu menjelaskan beberapa isu yang menarik perhatian saya. Kami dimaklumkan pada sebelah pagi yang pemain terbabit tidak dibenarkan beraksi pada perlawanan sebelah malam.
“Saya menyedari masalah itu apabila empat pemain keluar untuk membeli barangan keperluan seperti syampu dan sabun, malah kami dimaklumkan mengenai hukuman itu yang mana saya faham sepenuhnya.
“Bagaimanapun, memandangkan kami terkurung di dalam bilik hotel selama sebulan, saya juga faham ada barang keperluan yang kehabisan. Jika isu ini dapat ditangani dengan betul, ia pasti dapat memberikan peluang kepada pemain kami beraksi pada kejohanan ini,” katanya.