PARIS: Bintang Paris Saint-Germain, Neymar menganjurkan parti rahsia selama tiga hari bagi menyambut kedatangan Tahun Baharu 2022.
Penyerang Brazil itu mengadakan pertunjukan bunga api, persembahan muzik dan parti kolam renang di kawasan bawah tanah rumah agam miliknya yang bernilai 2.5 juta pound (RM5.64 juta) di Rio de Janeiro.
Parti gilang gemilang itu dihadiri oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Neymar, 29, sebelum ini pernah dikritik dan dilabel sebagai ‘kaki parti’ namun tiada sebarang penafian dijawab balas oleh selebriti berkenaan malah dia juga mengakui tidak akan berhenti melakukan aktiviti tersebut.
Bagaimanapun dia nampaknya berusaha keras menyembunyikan parti tiga hari itu daripada diketahui umum.
Akhbar sukan Sepanyol, Mundo Deportivo melaporkan, Neymar mengenakan larangan ketat kepada semua tetamu parti berkenaan untuk memasuki kawasan bawah tanah itu dengan telefon pintar dan kamera.
Begitupun, beberapa gambar daripada acara berkenaan nampaknya telah tersebar dan diketahui umum.
Daripada beberapa gambar itu, semua tetamu memakai pakaian berwarna putih yang membawa maksud tuah bagi warga Brazil ketika menyambut acara tahun baharu.
Bukan itu sahaja, terdapat sebuah pentas turut disediakan di kawasan itu, lengkap dengan peralatan muzik, kugiran serta ruang untuk menari. – AGENSI