PETALING JAYA: Lee Zii Jia akan berdepan cabaran baharu seperti hilang rakan sepelatih (sparring) jika keluar daripada skuad kebangsaan, namun sekiranya dia mempunyai perancangan baik dan ‘dukungan’ kuat, keputusan itu bagus untuk masa depannya.
Bekas pemain No. 1 dunia, Roslin Hashim juga menjangkakan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak akan mengenakan pampasan kepada juara All England itu berbanding dengan apa yang dilalui ketika meninggalkan badan induk tersebut pada 1996.
Kata Roslin, kehilangan Zii Jia akan menyukarkan BAM untuk mencari ganti atau mendapatkan pemain yang sama baik sepertinya, apatah lagi dia kini menghuni ranking ketujuh dunia.
“Bukan saya menyokong tindakan dia tetapi mungkin dengan cara ini BAM sedar yang mereka mungkin mempunyai masalah dalam pengurusan sehingga pemain sebagus Zii Jia mahu meninggalkan pasukan kebangsaan.
“Ini satu tamparan hebat buat BAM kerana yang keluar sebelum ini semua pemain ranking bawahan tetapi kali ini melibatkan pemain utama mereka.
“Mungkin Zii Jia ada masalah peribadi, tetapi kita kena faham, itu biasa kerana dia juga manusia yang ada perasaan tidak puas hati, gembira, sedih, tertekan.
“Meskipun pemain hanya perlu fokus kepada latihan dan keputusan perlawanan, tetapi dia juga berhak menyuarakan apa-apa yang terbuku di hatinya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Roslin berkata, melihat kepada beberapa tindakan BAM sebelum ini, nasib Zii Jia mungkin lebih baik berbanding dirinya yang terpaksa membayar pampasan hampir RM68,000 ketika meninggalkan BAM untuk menyertai Nusa Mahsuri pada hujung 1996.
Katanya, Zii Jia mungkin tidak perlu melalui proses sepertinya kerana mereka berada di bawah pihak pengurusan berbeza.
“Saya rasa Zii Jia tidak perlu membayar pampasan kepada BAM kerana pemain lain seperti Goh Jin Wei juga sebelum ini keluar dari persatuan tanpa membayar sesen,” katanya.
Difahamkan, Zii Jia, 23, pernah menerima tawaran hampir RM5 juta daripada syarikat pengeluar barangan sukan antarabangsa, selain dikatakan mungkin menyertai kelab yang menaungi seorang pemain handalan dunia.