MANCHESTER: Gol Marcus Rashford pada waktu kecederaan membantu Manchester United menumpaskan West Ham 1-0 malam tadi, sekali gus memintas lawannya itu untuk tangga keempat Liga Perdana Inggeris.
Biarpun menang tipis, pengendali sementara United, Ralf Rangnick menganggap kemenangan itu besar maknanya buat Red Devils, terutama selepas pemain-pemain gantian – Anthony Martial dan Edinson Cavani mencetus gerakan gol Rashford.
“Suasana dalam bilik persalinan menakjubkan. Pemain-pemain meraikan kemenangan, mereka sedar betapa besar makna kemenangan ini.
“Ia antara kemenangan terbaik apabila pasukan lawan tidak sempat untuk bangkit,” kata Rangnick.
Kemenangan itu melonjakkan United satu mata di depan The Hammers dan memintas Tottenham serta Arsenal dalam persaingan ke Liga Juara-Juara musim depan.
Gol kemenangan itu juga cukup penting buat Rashford, yang tahap keyakinannya sedikit merosot sejak beberapa bulan lalu.
Penyerang England itu menjaringkan gol buat pertama kali sejak Oktober ketika menewaskan Brentford 3-1, Rabu dan sekali lagi berada di kedudukan tepat untuk menjaringkan gol penting United. – AGENSI