Melaka United bayar tunggakan gaji bulan ini - Utusan Malaysia

Melaka United bayar tunggakan gaji bulan ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pemain Melaka United (MU) musim lalu dijangka me­nerima tunggakan tiga bulan gaji selewat-­lewatnya hujung bulan ini.

Sumber dalaman pengurusan kelab, KenTeam Sdn. Bhd. (KenTeam) yang mengambil alih pasukan tahun lalu memberitahu, usaha sedang giat dijalankan untuk melunaskan tunggakan gaji melibatkan 27 pemain, lima jurulatih dan dua fisioterapi.

Menurutnya, Melaka Uni­ted juga sudah memaklumkan perkara tersebut kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan memberi jaminan masalah gaji akan selesai secepat mungkin.

“Insya-Allah gaji semua pemain dan jurulatih akan diselesaikan secepat mungkin.

“Pihak pengurusan sedang berusaha menyelesaikannya dan jaminan itu telah diberikan pucuk pimpinan tertinggi KeanTeam.

“Pihak pengurusan juga telah memaklumkan kepada pemain terbabit mengenai kelewatan pembayaran gaji.

“Memang kalau boleh masalah ini mahu diselesaikan segera agar tidak menjejaskan persiapan menghadapi musim 2022,” kata­nya kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen Ketua Pegawai Eksekutif KenTeam, Datuk Seri Justin Lim gagal sejak pagi semalam.

Kelmarin, Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) memberi tempoh sehingga 19 Januari buat pengurusan membayar semua tunggakan.

Jika gagal, tindakan drastik akan diambil bagi menuntut hak pemain yang sudah memberi aksi terbaik musim lalu termasuk membawa skuad Hang Tuah ke separuh akhir Piala Malaysia.

Isu tersebut turut mendapat teguran Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Penaung PFAM.

TMJ berkongsi satu perbualan WhatsApp bersama Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md. Ali meminta Ketua Menteri Melaka itu menyelesaikannya secepat mungkin.

Teguran itu kemudian disambut dengan nada positif, apabila Sulaiman berjanji akan menyelesaikan tunggakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya