MELAKA: Melaka United (MU) akhirnya telah melunaskan gaji pemain dan pegawai pasukan itu yang tertunggak selama tiga bulan, hari ini.
Perkara itu dimaklumkan pengurusan kelab dalam kenyataan yang dikeluarkan lewat petang tadi.
Katanya, pembayaran dilakukan selepas penstrukturan kewangan dan pentadbiran dilaksanakan oleh pihak pengurusan.
“Bola Sepak MU hari ini telah melunaskan keseluruhan gaji para pemain dan pegawai pasukan Liga Super bagi musim 2021.
“Dengan ini, perancangan pasukan bagi musim 2022 berada di landasan yang tepat,” katanya.
Tambahnya, MU juga kini sedang dalam fasa mempersiapkan pasukan bagi memberikan cabaran yang hebat dalam Liga Malaysia musim ini yang akan bermula dengan saingan Liga Super pada 5 Mac 2022.
“Pihak pengurusan MU ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada pemilik, KenTeam Sdn. Bhd. (KenTeam) yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wira Justin Lim kerana telah memikul segala tanggungjawab sejak 2021.
“Terima kasih di atas doa dan sokongan anda buat MU selama ini dan semoga 2022 bakal menjadi tahun yang lebih berjaya dan gemilang,” katanya.
Semalam, Ketua Menteri Melaka yang juga PresidenPersatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md. Ali ketika diminta mengulas lanjut isu tersebut memberitahu, kemelut pembayaran gaji pasukan akan diselesaikan pada Ahad ini menerusi Mesyuarat Kongres Persatuan Bola Sepak Melaka.
Isu tersebut turut mendapat perhatian Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menegur MU berhubung isu tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu sejak Oktober lalu.