MELAKA: Jurulatih baharu skuad bola sepak Melaka United (MU), Risto Vidakovic, 53, dari Bosnia Herzegovina dijangka menyertai sesi latihan pramusim 2022 selewat-lewatnya awal Februari ini.
Pengurus pasukan, Muhammad Akram Abdullah berkata, ketibaan Vidakovic turut disertai empat pemain import iaitu Ifedayo Olusegun, Sony Norde, Emmanuel Oti dan Justin Baas, manakala Adriano Narcizo sudah berada di negeri ini.
Menurutnya, Skuad Sang Kancil sudah mula menjalani latihan pertama walaupun tanpa kelibat Vidakovic di Stadium Hang Tuah di sini, petang Isnin.
“Buat masa ini, sesi latihan dikendalikan penolong jurulatih, Mohd. Asri Ninggal dan Nazrolerwan Makmor serta dibantu jurulatih baharu penjaga gol yang juga bekas pemain Selangor, Azlisham Ibrahim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Muhammad Akram berkata, MU membuat persiapan rapi bagi mengharungi cabaran Liga Super yang bermula Mac ini dengan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan teratas.
Menurutnya, biarpun mengekalkan sepuluh pemain musim lalu serta tidak melanjutkan kontrak bekas jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta melamar beberapa pemain pasukan lain, MU dilihat berupaya melakukan kejutan.
“Kita ada jurulatih berpengalaman iaitu Vidakovic bekas pemain skuad Yugoslavia (kini Bosnia Herzegovina) dan pernah menjadi jurulatih beberapa kelab di Eropah dan Asia,” ujarnya.
Beliau berkata, jurulatih itu pernah membimbing skuad Ceres-Negros dalam Liga Profesional Filipina dari 2016-2020, Maziya dalam liga Maldives dan Borneo FC dalam Liga BRI 1.
Katanya, pengalaman dengan corak permainan bola sepak di Asia tidak menyukarkan Vidakovic untuk membimbing MU terutama demi memburu tiga tempat teratas Liga Super musim ini.