MANCHESTER: Pengurus Wolverhampton, Bruno Lage mempelawa Cristiano Ronaldo beraksi bersama pasukannya jika bintang Portugal itu tidak gembira di Manchester United.
Sejak akhir-akhir ini, banyak kritikan dilemparkan kepada pemilik lima gelaran Ballon d’Or itu, malah pelbagai spekulasi bertiup kencang mengatakan dia sedang mencari jalan keluar dari Old Trafford.
Kata Lage, dia gembira jika memiliki pemain sehebat Ronaldo dalam pasukannya, apatah lagi penyerang berusia 36 tahun itu sudah membuktikan kehebatan sejak kembali ke pangkuan Red Devils.
“Kalau mereka (United) tidak gembira dengan Ronaldo, saya mempunyai tempat buatnya di sini tetapi saya tahu mereka sebenarnya gembira dengannya,” kata Lage.
Sementara itu, pengkritik bola sepak, Paul Merson mahu Ronaldo digugurkan daripada kesebelasan utama, sambil menegaskan ada yang tidak kena dengan United.
Walaupun memberi impak dengan meledak 14 gol sejak kembali ke Old Trafford, sikap dan usaha kapten Portugal itu sering mengundang kritikan.
Setiap kali Red Devils gagal bermain baik, Ronaldo sering menunjukkan kemarahan dan bergegas ke terowong tanpa mempedulikan peminat.
“Saya percaya Ronaldo perlu diketepikan biarpun perkara itu mungkin tidak berlaku.
“Edinson Cavani perlu mengambil tempatnya bersama Jadon Sancho, Marcus Rashford dan Mason Greenwood. – AGENSI