KUANTAN: Biarpun banjir dan Covid-19 membataskan persiapan Pahang Mammoth, namun pasukan pantai timur itu bertekad untuk kembali ke pentas pentas Premier dengan mengungguli saingan Divisyen 1.
Membariskan jurulatih serta pemain berpengalaman, Pahang sedia membuktikan sentuhan mereka masih berbisa dan bersemangat untuk kembali bersaing dengan pasukan elit sepak takraw tempatan.
Serius untuk mengejar sasaran, menyertai kejohanan lima penjuru Piala Datuk Halim Sulaiman melibatkan lima pasukan yang akan menyertai STL 2021/2022 antara persiapan yang dilakukan Pahang Mammoth.
“Selain itu, Pahang Mammoth turut menyertai beberapa kejohanan luar sebagai persediaan untuk keluar dari Divisyen 1 sekarang,” kata Penolong Pengurus, Mohd. Hirman Omar kepada Utusan Malaysia.
Selain tidak bergantung kepada pemain import, semua tonggak Mammoth musim ini adalah anak jati negeri Pahang.
Pasukan itu meletakkan sandaran kepada Wan Muhammad Anas Muhaimi Wan Mohd. Asri, Mohd. Zikrullah Hanad, Nor Mohamad Arif Najiruddin dan Irwan Shah Rizal Amir Hamzah sambil dibimbing jurulatih berpengalaman, Iskandar Arshad.