SINGAPURA: Dibawa pulang menaiki pesawat peribadi. Itu ‘ganjaran’ pertama yang diberikan oleh pengurus pasukan, Nualphan Lamsam kepada Thailand selepas muncul juara Piala AFF 2020 buat kali keenam malam tadi.
Lamsam atau lebih dikenali sebagai Madam Pang, seorang hartawan Thailand telah menawar diri menghantar pulang pemain Gajah Perang dengan pesawat peribadi.
Perkara itu sekali gus menjadi topik hangat, bersesuaian dengan sistem gelembung sukan yang dilaksanakan di Singapura.
Bagi menghargai kepayahan dan keletihan pemain yang telah menyumbang trofi kemenangan, hadiah lumayan seumpama ini semestinya sangat berbaloi terutama buat dua pemain Thailand, Teerasil Dangda dan Chanathip Songkrasin yang turut tersenarai sebagai penjaring gol terbanyak Piala AFF kali ini.
Madam Pang, 55, nama yang tidak asing dengan bola sepak Thailand. Antara sumbangannya adalah menjadi pengurus skuad bola sepak negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia 2015 dan 2019.
Bukan itu sahaja, beliau juga pemilik kelab liga utama Thailand, Port FC.
Berasal dari keluarga terhormat, bapanya pernah berkhidmat sebagai ahli jawatankuasa penasihat Parti Demokrat Thailand, sementara ibunya pemegang saham terbesar bagi syarikat Insurans Muang Thai.
Seperkara lagi yang menarik tentang sumbangannya terhadap kemenangan pasukan Thailand, Madam Pang telah berjanji untuk memberi ganjaran wang bernilai 20 juta baht (RM2.5 juta).
“Duit bukanlah jalan singkat untuk berjaya, namun moral dan semangat pemain akan bertambah jika diberikan ganjaran seperti ini,” katanya kepada Bangkok Post.
Bukan itu sahaja, sebelum ini beliau juga pernah memberi ganjaran pemanas badan iaitu telefon pintar iPhone 13 dan jam tangan mewah Rolex kepada setiap pemain serta pegawai pasukan kerana Thailand berjaya ke separuh akhir.
Semestinya, kejayaan pasukan dari negara Gajah Perang ini wajar dicontohi negara jiran yang lain tentang betapa bertuahnya mereka kerana memiliki ahli perniagaan yang patriotik dan cintakan bola sepak seperti Madam Pang.
Indonesia mengikat Thailand 2-2 dalam final kedua semalam, namun skuad Gajah Perang muncul juara secara agregat 6-2. – AGENSI