Lumpuh tak halang bekas 'killer' negara genggam ijazah - Utusan Malaysia

Lumpuh tak halang bekas ‘killer’ negara genggam ijazah

MUHAMMAD Kamal Ishak selepas majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-44 di Serdang, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Bekas perejam (killer) skuad sepak takraw kebangsaan, , Muhammad Kamal Ishak yang lumpuh separuh badan akibat kemalangan jalan raya kira-kira tiga tahun lalu meraikan detik bersejarah apabila menerima ijazah Sarjana Muda Pendidikan Jasmani, semalam.

Bekas atlet berusia 29 tahun itu menerima ijazah berkenaan daripada Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim pada Majlis Konvokesyen ke-44 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini.

Muhammad Kamal berkata, selepas kemalangan pada 2019 itu, dia hampir berputus asa dan tidak mahu meneruskan pengajian semester ketujuh kerana kesukaran untuk bergerak.

Dia yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkata, selepas melalui rawatan pemulihan fisioterapi barulah dia boleh duduk dan menulis.

“Saya dimasukkan ke unit rawatan rapi selama sebulan dan di hospital selama tiga bulan lagi. Ketika itu saya terlalu trauma… jari tak boleh gerak, dari tengkuk ke bawah lumpuh, saya hanya terbaring sahaja.

“Namun semangat saya kembali kuat apabila mendapat tahu isteri saya selamat dan anak dalam kandungannya juga selamat. Merekalah inspirasi saya.

“Selama tujuh bulan ibu, Jamilah Mad Jusoh dan bapa, Ishak Taib menjaga saya di Kuala Lumpur tanpa sehari pun dalam tempoh itu pulang ke kampung halaman. Pengorbanan mereka terlalu besar,” katanya.

Muhammad Kamal yang merupakan anak lelaki tunggal daripada empat beradik berkata, Ketua Jabatan di Fakulti Pengajian Pendidikan juga menasihatinya supaya
tidak berhenti belajar, sebaliknya mendapatkan rawatan pemulihan.

Katanya, ketika itu pengajian berlangsung secara dalam talian kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid-19, malah latihan amali yang mengkehendaki dia mengajar juga dilakukan secara dalam talian dan hanya ke Sekolah Sukan Negeri Mutiara Impian, Nibol Tebal sekali seminggu.

“Tempoh semasa PKP itu memudahkan saya menamatkan pengajian dan melakukan latihan amali kerana sebahagian besarnya dilakukan secara dalam talian, tanpa membabitkan banyak pergerakan untuk saya,” katanya.

Muhammad Kamal mula mewakili negara semasa tingkatan lima dengan menyertai kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN, manakala pada 2015 menyertai temasya Sukan Universiti ASEAN.

Sementara itu, dia menyertai skuad senior kebangsaan dalam Piala Raja Thai di Bangkok, Thailand pada 2016, Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan Sukan Asia di Indonesia 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya