MADRID: Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengakui pasukannya masih dalam ‘mode bercuti’ selepas tewas mengejut 1-0 kepada Getafe dalam saingan La Liga semalam.
Kekalahan pertama dalam tempoh tiga bulan itu memberi harapan kepada pasukan lain untuk mengejar selepas Eder Militao melakukan kesilapan di awal babak pertama membolehkan Enes Unal meledak gol kemenangan di Coliseum Alfonso Perez.
Unal menjaringkan gol tunggal pada minit kesembilan selepas Militao yang biasanya boleh diharap bersikap sambil lewa.
Anak-anak buah Ancelotti berdepan tempoh sukar dalam perlawanan pertama tahun 2022 dengan bergelut pada separuh masa pertama.
“Kami masih bercuti untuk satu hari lagi. Pasukan ini tidak sama dengan pasukan yang bermain sebelum Krismas – kurang komitmen, kurang perhatian.
“Kami tidak sepatutnya kalah tetapi inilah yang terjadi dan ia boleh menjadi satu pengajaran,” kata Ancelotti.
Real bagaimanapun masih mengungguli liga dengan 46 mata, lapan mata mengatasi pencabar terdekat, Sevilla.
Kekalahan itu juga menamatkan prestasi cemerlang melakar 10 kemenangan berturut-turut, selain tidak tewas 15 perlawanan sejak tumpas kepada Espanyol pada 3 Oktober lalu.
Sementara itu, Barcelona memperbaiki kedudukan dengan mendaki ke tangga kelima selepas jaringan Luuk de Jong membantu mereka menumpaskan Mallorca 1-0. – AGENSI