LONDON: Liverpool mengambil langkah dramatik saat akhir dengan mendapatkan pemain sayap Colombia, Luis Diaz yang pada mulanya hampir menjadi milik Tottenham.
Reds dilaporkan sudah menghantar wakil ke Argentina, di mana Diaz beraksi dalam kelayakan Piala Dunia 2022 minggu ini, bagi melengkapkan perpindahan yang boleh mencecah sehingga 50 juta pound (RM280.3 juta).
Ketika jendela perpindahan Januari dibuka, penjaring terbanyak Porto berusia 25 tahun itu dikatakan hampir terbang ke London untuk menyertai Spurs.
Pengarah Bola Sepak Tottenham, Fabio Paratici sudah mencapai perjanjian bernilai 37.5 juta pound (RM210.4 juta) untuk Diaz.
Reds bagaimanapun tampil bersama tawaran 37.5 juta pound dan tambahan 12.5 juta pound (RM70.1 juta) lagi jika pemain berusia 25 tahun itu cemerlang di Anfield.
Ketibaan Diaz akan menimbulkan tanda tanya mengenai masa depan bintang Liverpool, Mohamed Salah yang sehingga kini belum menandatangani lanjutan kontrak.
Kontrak Salah serta rakan sepasukan di Liverpool, Sadio Mane dan Roberto Firmino akan berakhir pada musim panas 2023 di mana kesemua mereka akan berusia 31 tahun ketika itu.
“Penyokong Porto benar-benar marah tentang perkara ini.
“Mereka tidak gembira pemain terbaik kelab telah dijual. Dia juga pemain terbaik liga Portugal dan semuanya berjalan baik pada pertengahan musim ini.
“Bagi Porto, mereka mempunyai kelebihan enam mata (mendahui liga) dan di Portugal pada kedudukan itu, sukar untuk memintas tetapi sudah tentu kehilangan Diaz akan melemahkan mereka,” kata pakar bola sepak Portugal, Tom Kundert kepada podcast Blood Red. – AGENSI