PETALING JAYA: Sri Pahang FC membuat kejutan apabila kembali menyenaraikan pemain import lincah dari Argentina, Manuel Hidalgo untuk menghadapi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Sejurus tamat saingan musim lalu, Tok Gajah mengumumkan pemain berusia 23 tahun itu antara yang tidak akan menyarung jersi pasukan pada 2022. ‘
Bagaimanapun hari ini, Sri Pahang FC mengesahkan menandatangani kontrak baharu bersama pemain itu.
“Lihat siapa yang kembali!
“Kami berbesar hati mengumumkan Manuel Hidalgo telah menandatangani kontrak baru untuk kekal bersama Sri Pahang FC!
“Bintang dari Argentina ini dibawa masuk pada pertengahan musim lalu dan telah berjaya menambat hati penyokong dengan kelincahan dan aksi memukau di posisi sayap.
“Walaupun memilih untuk beralih angin selepas kontraknya tamat pada November lalu, Hidalgo berubah fikiran dan kembali dengan misi mengecap sesuatu yang lebih besar bersama Sri Pahang musim ini,” tulis Sri Pahang dalam Facebook rasminya.
Sebelum ini, Sri Pahang mengumumkan Muslim Ahmad yang tidak dilanjutkan kontrak bersama 14 pemain termasuk Hidalgo, namun turut kembali disenaraikan dalam skuad kendalian Christophe Gamel.
Sri Pahang kini sudah melengkapkan kuota lima pemain import. Selain Hidalgo, empat lagi pemain yang ditandatangani Tok Gajah adalah Mamadou Samassa (Mali), Mahmoud Za’tara (Jordan), Johan Martial (Perancis) dan Billy Ketkeophomphone (Laos). – UTUSAN ONLINE