PETALING JAYA: Biarpun turun dengan reputasi juara berganda, Kuala Lumpur (KL) Thunder enggan meletakkan sasaran tinggi, malah selesa digelar bukan pilihan pada saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 yang membuka tirai Jumaat depan.
Cabaran lebih sengit yang ditampilkan pesaing mereka musim ini membuatkan KL Thunder berhati-hati dalam menentukan sasaran.
“Sasaran untuk berada dalam tiga kelompok teratas itu ada tetapi saya tidak berani berkata di awal musim. Sekiranya kita berjaya mengekalkan kedudukan pertama, itu satu bonus buat pasukan.
“Saya faham untuk mencari kejuaraan lebih mudah berbanding mengekalkannya tetapi saya lebih selesa KL Thunder musim ini digelar underdog.
“Apa yang saya lihat, persaingan musim akan datang lebih mencabar dan sengit dengan kehadiran pemain berpengalaman.
“Apa jua kita masih mempunyai objektif untuk pergi lebih jauh dengan mencapai lebih kejayaan daripada sebelum ini,” kata Presiden Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Perswhip), Datuk Mohd. Sumali Reduan kepada Utusan Malaysia.
Beliau ditemui dalam majlis pengenalan pasukan KL Thunder musim 2021/2022 yang dilancarkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Jalaluddin Alias kelmarin.
Ketua pasukan, Aizat Azmi berkata, persiapan kali ini agak mencabar kerana tempat latihan dilanda banjir.
“Persiapan pasukan musim ini agak mencabar kerana dewan latihan kami ketika ini dilanda banjir, jadi ia merencatkan sedikit persiapan kami menjelang aksi pembukaan minggu depan,” katanya.