KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur (KL) Thunder melonjak ke tangga kedua carta Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 selepas menundukkan Negeri Sembilan (NS) Antlers 2-0 di Stadium Titiwangsa dekat sini, sebentar tadi.
Juara bertahan itu melakar kemenangan 21-11 dalam set pertama dan terus beraksi cemerlang membenam Negeri Sembilan 21-13 pada set kedua.
Kuala Lumpur kini mengekori rapat ATM Guardians yang berada di persada liga setelah mengumpul 14 mata hasil tujuh kemenangan tanpa kalah, manakala skuad ibu kota itu mengutip 12 mata daripada enam pertemuan.
Sementara itu, Negeri Sembilan kekal di tangga kelima dengan lapan mata hasil daripada empat kemenangan. – UTUSAN ONLINE