KUALA LUMPUR: Selepas mengharungi saingan awal musim yang tidak menentu, juara bertahan, Kuala Lumpur (KL) Thunder semakin garang apabila melakar kemenangan ketiga berturut-turut dengan menumpaskan Johor Tigris 2-0 dalam aksi Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 hari ini.
Skuad bimbingan Rashidi Nordin itu bagaimanapun dipaksa berhempas pulas sebelum menumpaskan Johor Tigris 21-18, 21-15 di Stadium Titiwangsa.
Memulakan kempen dengan menjulang Piala Sumbangsih apabila menewaskan Bomba Fighters dalam aksi pembukaan, KL Thunder bagaimanapun ‘diratah’ oleh 14-21, 11-21 kepada ATM Guardians pada perlawanan kedua.
Juara berganda musim lalu itu kemudian tewas 20-22, 21-18, 16-21 kepada Penang Black Panthers dalam aksi pertama minggu kedua, namun bangkit menumpaskan Perak Bison 2-0 dan Selangor Pistons 2-1 pada dua perlawanan berikutnya.
Pada set pertama hari ini, pasukan ibu kota itu lambat panas apabila ketinggalan sebelum bangkit untuk mengejar mata demi mata bagi merampas set tersebut menerusi kemenangan 21-18.
Set kedua turut berlangsung sengit dengan jurang mata yang kecil memisahkan kedua-dua pasukan di awal permainan tetapi, KL Thunder berjaya mengumpul kembali fokus mereka untuk mengakhiri pertemuan itu dengan kejayaan 21-15
Kemenangan tersebut, menyaksikan KL Thunder mengumpul lapan mata hasil empat kemenangan daripada enam perlawanan. – UTUSAN ONLINE