PETALING JAYA: Biarpun mengisytiharkan diri mereka sebagai underdog musim ini, namun turun dengan reputasi sebagai juara berganda 2020, Kuala Lumpur (KL) Thunder tekad memenangi trofi pertama yang ditawarkan dalam Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 malam ini.
Selaku juara Premier musim lalu, KL Thunder yang juga penyandang juara Piala Juara-Juara akan menentang juara Divisyen 1 2020, Bomba Fighters dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
“Bomba Fighters pada musim ini mengambil muka-muka baharu yang bukan dari Divisyen 1, jadi apa yang kita boleh lihat mereka betul-betul bersedia untuk bersaing dalam saingan Premier musim ini.
“Kita tak boleh menganggap mereka sebagai pasukan yang tidak ada apa-apa kekuatan, jadi KL Thunder perlu bermain dengan lebih berhati-hati untuk perlawanan pembukaan nanti.
“Apa pun, Insya-Allah, walaupun kami menganggap diri sebagai underdog kerana tidak memiliki pemain import berbanding beberapa pasukan lain, namun KL Thunder tetap membawa misi memenangi Piala Sumbangsih untuk menaikkan motivasi,” kata tekong negara, Syahir Rosdi yang bakal mengetuai cabaran KL Thunder.
Selain menerima Piala Sumbangsih, pemenang malam ini akan turut menerima hadiah kemenangan RM5,000.
Walaupun beraksi sebagai pendatang baharu saingan Premier, Bomba Fighters menunjukkan keseriusan untuk mencabar kejuaraan elit apabila menampilkan pemain import dari Thailand, Kupithat Khatmimalan.
Bagaimanapun untuk pertembungan dengan KL Thunder malam ini, mereka tidak dapat menggunakan khidmat Kupithat kerana masih menguruskan beberapa dokumen disebabkan kebenaran buat pemain import beraksi dalam STL 2021/2022 baru diberikan oleh Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT) kelmarin.
“Apa pun kami amat gembira sebaik sahaja mendapat tahu Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) membenarkan pemain import digunakan dalam STL kali ini.
“Pihak pengurusan Bomba Fighters sedang menguruskan segala dokumen yang diperlukan oleh Astaf untuk membawa masuk pemain import kami dalam saingan STL 2021/2022,” penolong pengurus pasukan, Norizan Saad.