KOTA BHARU: Kelantan Warriors perlu segera melupakan kekalahan kepada Negeri Sembilan Antlers dan Bomba Fighters dalam aksi Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 minggu lalu.
Pengendali pasukan, Azhar Sarbini, sebaliknya mahu pemain bangkit dan kembali fokus untuk mengharungi saingan hujung minggu ini.
“Saya akui setiap kekalahan cukup perit untuk diterima, namun kita perlu akur, sebaliknya terus kerja dengan lebih keras untuk memastikan apa yang disasarkan mampu dicapai.
“Insya-Allah, saya optimis permain mampu bangkit dan kekalahan itu akan menjadi azimat buat Kelantan Warriors untuk terus fokus dalam perlawanan berikutnya selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selepas cemerlang memenangi semua perlawanan minggu pertama, dua kekalahan tersebut menyentap semangat Kelantan yang dianggap antara pilihan utama STL musim ini.
Azhar Sarbini memberitahu, dia sudah mengenal pasti kelemahan yang ada pada pasukan dan akan segera memperbaikinya sebelum saingan kembali bersambung.
Katanya, dia turut yakin tekong utama pasukan Zulkifli Abdul Razak atau Sobey dalam usaha mendapatkan semula rentak asal persembahanya.
“Begitu juga dengan posisi perejam, kita akan perkemaskan semula. Saya yakin Kelantan Warriors mampu bangkit,” ujarnya.
Semalam, Bomba Fighters berjaya ‘memadam’ semangat Kelantan Warriors apabila menang straight set 2-0.
Abang Bomba menang 21-14 dan 22-20 untuk mengecewakan Kelantan Warriors.