Kalau kelab tak bantu, Harimau Malaya ‘ke laut’ juga - Utusan Malaysia

Kalau kelab tak bantu, Harimau Malaya ‘ke laut’ juga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak kisah­lah siapa yang menjadi pilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk menggalas tugas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, jika kelab-kelab tempatan tidak memberi kerjasama membekalkan pemain terbaik skuad kebangsaan tetap akan ‘ke laut’.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail berkata, perkara utama perlu diperbetulkan dalam menyediakan pasukan terbaik adalah memastikan pemain yang dibekalkan itu sendiri berkualiti sejak dari kelab.

Pertama, kelab-kelab perlu memastikan pemain yang ‘dise­rahkan’ kepada pasukan kebangsaan cergas 100 peratus untuk menggalas tugas antarabangsa dengan menyediakan program terbaik kepada mereka.

JAMAL NASIR

Kedua, semua kelab perlu lebih bertanggungjawab dengan memastikan pemain-pemain yang menjadi sandaran Malaysia di pentas antarabangsa mendapat minit permainan mencukupi dalam liga domestik.

“Kelab seharusnya beri latihan kecergasan yang lebih kepada pemain kebangsaan kerana hal itu sepatutnya berlaku di kelab, bukan semasa latihan di FAM.

“Tahap kecergasan setiap pemain mesti berada lebih 200 peratus pada perlawanan antarabangsa, bukan seperti bermain dalam liga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, dengan masa singkat bagi Kelayakan Piala Asia 2023 yang bakal berlangsung, Jun depan sukar untuk pemain beri seluruh tumpuan kepada Harimau Malaya semata-mata.

“Kita tiada masa nak kumpul semua pemain untuk dua atau tiga bulan untuk fokus pada pasukan kebangsaan, mereka juga ada liga dalaman,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, jurulatih dari Korea Selatan menjadi pilihan FAM untuk menggantikan Tan Cheng Hoe dan pengumuman akan dibuat awal bulan depan.

Dua nama yang disebut-sebut Kim Hak Bum yang pernah membimbing skuad Olimpik Korea Selatan, selain Kim Pan Gon pula yang merupakan bekas jurulatih kebangsaan Hong Kong.

“FAM nak ambil jurulatih luar dari Korea, Jepun atau Eropah sekalipun terpulang kepada mereka tapi pada akhirnya semua berbalik kepada kualiti pemain kita,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya