KUALA LUMPUR: Kekalahan terbaru kepada Kuala Lumpur (KL) Thunder kelmarin memudarkan harapan Johor Tigris untuk memburu kejuaraan, dan ketua pasukan, Muqlis Borhan mengakui, mereka memerlukan magis untuk melakar kejutan.
Tidak berniat mengangkat bendera putih tetapi Muqlis berkata, dia perlu realistik dengan kedudukan pasukannya yang terperosok di tangga tercorot carta Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 ketika ini.
Muqlis berharap kehadiran tekong import dari Thailand, Swatbanchan Seekhwa dapat membantu Tigris mengubah kedudukan untuk keluar dari dasar liga.
Apit kiri itu berkata, khidmat Swatbanchan tidak mungkin dapat digunakan di Kuala Lumpur (sehingga minggu keempat) kerana perlu menjalani kuarantin tujuh hari.
“Saya jangkakan dia hanya sempat bersama kami sewaktu pusingan kedua di Kelantan dan harap kehadiran dia nanti sedikit sebanyak dapat membantu Johor Tigris mencapai sasaran kelompok enam terbaik,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Berbekalkan dengan hanya satu kemenangan ke atas Perak Bison minggu lalu, Tigris kini mengumpul dua mata daripada enam perlawanan.
Kelmarin, Tigris tumpas lagi dan kali ini giliran Kuala Lumpur (KL) Thunder mengecewakan mereka 18-21, 15-21.
“Bagi saya memang memerlukan magis untuk menjadi salah sebuah pasukan pemburu gelaran tetapi untuk mengejar sasaran kelompok empat atau sekurang-kurangnya enam terbaik itu, boleh dicapai.
“Saingan di Kuala Lumpur akan berakhir minggu depan dan selepas itu, musim akan berehat seminggu sebelum pusingan kedua bersambung di Kelantan, diikuti di Pulau Pinang dan Perak,” katanya.
Menurut Muqlis, di Johor pula akan berlangsung Piala Juara-Juara di mana pasukan enam terbaik Liga Premier dan Divisyen 1 akan bertarung pada pertandingan itu.