PETALING JAYA: Hasrat Chen Tang Jie-Peck Yen Wei untuk merangkul kejuaraan badminton Terbuka India tidak kesampaian apabila dikejutkan pasangan Singapura, Terry Hee-Tan Wei Han 15-21, 19-21 di New Delhi hari ini.
Turun sebagai pilihan ketiga dan menghuni ranking ke-40 dunia, beregu campuran negara itu terpaksa akur di tangan pasangan yang jauh terperosok di tangga ke-182 dunia.
Tang Jie-Yen Wei yang kali terakhir menjuarai Kejohanan Antarabangsa Malaysia pada 2018 nyata sukar menandingi lawan apabila sering kali ketinggalan.
Bagaimanapun perjalanan beregu negara itu seharusnya dipuji apabila mereka sebelum ini berjaya mengejutkan bekas senior mereka dalam skuad kebangsaan, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Musim lalu, pencapaian terbaik beregu negara itu adalah melangkah ke suku akhir Terbuka Hylo di Jerman, November.
Cabaran mereka selepas ini adalah Kejohanan Antarabangsa India yang dijadual berlangsung di Lucknow, India dari 18 hingga 23 Januari ini.