KERANCAKAN saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw 2021/2022 yang memasuki minggu kedua menyaksikan pelbagai kejutan tercipta.
Antara yang mencuri perhatian saya ialah perlawanan yang berlangsung pada 14 Januari lalu, menemukan Kuala Lumpur (KL) Thunder dan Penang Black Panthers.
Atas kertas, perlawanan tersebut akan berpihak kepada pasukan Lembah Klang yang dibarisi pemain handalan tetapi sebaliknya yang berlaku apabila juara berganda edisi lepas itu dikejutkan oleh barisan pemain muda pasukan dari Pulau Mutiara.
KL Thunder yang dibarisi pemain kebangsaan Syahir Rosdi (tekong), Azlan Alias (apit kanan) dan Amirul Zazwan (apit kiri) kelihatan hilang rentak permainan, terutama Syahir yang seolah-olah bermain dalam keadaan tertekan. Jika ini adalah persembahan yang dipamerkan, timbul tanda tanya tentang bagaimana untuk menghadapi cabaran di Sukan Sea dan Sukan Asia yang bakal berlangsung tahun ini.
Jujur saya katakan Syahir atau Panjang hilang fokus di set pertama apabila banyak servis terkandas di jaring atau tersasar keluar. Jika Syahir tidak segera menyelesaikan masalah ini, tidak mustahil Aizat Azmi akan dipilih untuk menggalas tugas tekong utama musim ini.
Bagi Penang Black Panthers, semangat juang tinggi yang ditonjolkan oleh ketiga pemain muda ini, menghasilkan kualiti permainan yang harus dijadikan contoh semua pasukan.
Zaim Razali yang tidak beraksi musim lalu menjadi pencetus semangat Harimau Kumbang, selain Faisal Fuad yang juga merupakan kunci kemenangan dalam perlawanan epik itu.
Saya juga melihat servis ‘drop’ yang Faisal masih menjadi masalah buat KL Thunder, terutama Amirul Zazwan sepanjang tiga set tersebut. Walaupun dari sudut fizikal Faisal tidak memiliki fizikal sinonim dengan posisi tekong, tetapi dia berjaya mengucar-kacirkan lawan dengan variasi servisnya. Ini membuktikan Faisal terus menyerlah sejak mewakili Johor Tigris musim lalu.
Ini membuktikan, ada hasil dari program akar umbi untuk sukan sepak takraw, dan khususnya buat Sekolah Menengah Mutiara Impian Pulau Pinang, tahniah harus diberikan kerana berjaya melahirkan ubi muda di pentas sepak takraw negara.
Mungkin saingan STL kali ini dapat membuktikan, bahawa sudah sampai masa, bakat muda dipertaruhkan dalam usaha menggapai impian kejayaan sukan sepak takraw ke peringkat yang lebih tinggi.