LONDON: Arsenal mungkin kehilangan sehingga 12 pemain apabila menerima kunjungan Liverpool dalam separuh akhir kedua Piala Liga esok.
Selepas berhempas pulas mengikat Reds 0-0 dalam separuh akhir pertama di Anfield biarpun beraksi dengan 10 pemain, Gunners pastinya tidak mahu melepaskan peluang untuk memburu tiket final bulan depan.
Begitupun masalah penggantungan, kecederaan dan Covid-19 boleh menyebabkan kelab London itu pincang.
Pengendali pasukan, Mikel Arteta lega Martin Odegaard sudah pulih daripada dijangkiti Covid-19 dan kembali ke sesi latihan, manakala pemain lincah, Emile Smith Rowe semakin sembuh daripada kecederaan.
Begitupun keadaan pertahanan tengah Jepun, Takehiro Tomiyasu masih tidak pasti ketika dua lagi bek tengah, Sead Kolasinac dan Pablo Mari dalam perjalanan keluar dari Emirates untuk menyertai kelab Perancis, Marseille.
Mikel berharap Bukayo Saka, Kieran Tierney dan Calum Chambers yang mengalami kecederaan pada perlawanan pertama dapat melepasi ujian kecergasan atau keadaan akan menjadi bertambah parah.
Cedric Soares yang mengalami masalah pinggang juga mungkin diketepikan, manakala Granit Xhaka antara kekosongan yang perlu diisi selepas pemain itu dibuang padang ketika bertemu Liverpool.
Gunners sudahpun kehilangan Thomas Partey, Mohamed Elneny dan Nicolas Pepe yang kesemuanya menggalas tugas bersama skuad kebangsaan masing-masing dalam Piala Negara-Negara Afrika di Cameroon. – AGENSI
PIALA LIGA
(separuh akhir kedua)
Arsenal (0) lwn Liverpool (0)
(Siaran langsung di Astro 812, 3.40 pagi)
*Dalam kurungan keputusan separuh akhir pertama