KUALA LUMPUR: Bukan sekadar kalah 0-2, lebih mengejutkan Penang Black Panthers mempamer aksi longlai ketika tewas mudah 10-21, 16-21 kepada Perak Bison dalam saingan Premier, Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.
Cemerlang memenangi lima perlawanan pertama liga, pasukan Harimau Kumbang kini mengalami kekalahan ketiga berturut-turut.
Semalam, mereka dijinakkan oleh ATM Guardians dan sebelum itu, tewas mengejut kepada pendatang baharu liga Premier, Putrajaya Cyborg pada aksi terakhir minggu ketiga, Sabtu lalu.
Dianggap pencabar utama kejuaraan musim ini, Penang Black Panthers kini tiada pilihan kecuali mengalahkan satu lagi pasukan yang dianggap ‘harimau luka’, Johor Tigris dalam perlawanan terakhir minggu keempat STL 2021/2022 hari ini. – UTUSAN ONLINE