Giliran Meng Yean tinggalkan BAM - Utusan Malaysia

Giliran Meng Yean tinggalkan BAM

LEE Meng Yean mengucapkan selamat tinggal kepada BAM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seminggu selepas Lee Zii Jia mengejutkan peminat sukan tanah air dengan meminta untuk keluar daripada skuad kebangsaan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini mengumumkan, pemain beregu wanita berpengalaman, Lee Meng Yean turut mengikut jejak juara All England tersebut.

BAM dalam satu kenyataan berkata, Meng Yean, 27, yang menggalas cabaran Malaysia dalm Piala Uber 2020 dan Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak lagi bersama skuad kebangsaan berkuat kuasa hari ini.

“BAM ingin merakamkan terima kasih kepada Meng Yean atas sumbangannya kepada skuad kebangsaan, dia pergi dengan ucapan terbaik daripada semua yang berada di persatuan,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Meng Yean, berkata biarpun tidak lagi bersama BAM namun dia tetap akan meneruskan kerjayanya sebagai pemain profesional dan mewakili Malaysia.

“Ini adalah keputusan sukar buat saya tetapi saya percaya dan bersedia dengan laluan seterusnya. Walaupun tidak lagi berlatih di BAM, ia bukan bermakna saya akan berhenti bermain.

“Saya hanya bermain di persekitaran yang berbeza dan tetap mewakili Malaysia. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan sepanjang kerjaya saya.

“Terima kasih tidak terhingga kepada BAM, ISN (Institut Sukan Negara), MSN (Majlis Sukan Negara), jurulatih dan rakan sepasukan yang banyak membantu saya. Saya sangat menghargainya.

“Jangan bimbang, saya tidak akan hilang terus dari radar badminton kerana anda semua mahu melihat Nyek Nyek (julukannya) terus bersinar di dalam gelanggang,” kata Meng Yean dalam akaun Facebook.

Berbeza dengan Zii Jia, 24, tindakan Meng Yean meninggalkan BAM bukan sesuatu yang mengejutkan kerana dia dilihat bergelut untuk membentuk kombinasi mantap bersama gandingan baharunya, Yap Cheng Wen selepas pasangannya sebelum ini Chow Mei Kuan mengumumkan persaraan sebaik sahaja tamat temasya Tokyo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya