KUALA LUMPUR: Selain kualiti permainan yang meningkat, beberapa siri kejutan, terutama yang dihadirkan pendatang baharu Premier, Putrajaya Cyborg ke atas Penang Black Panthers minggu lalu menjadikan pusingan pertama Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 amat mengujakan penyokong.
Selepas tiga minggu berlangsung, dianggarkan 5,000 tiket telah terjual di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Memandangkan stadium yang boleh memuatkan 1,500 penonton itu telah dikurangkan kapasiti kepada 50 peratus iaitu 600 orang bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, jumlah tersebut cukup memberangsangkan.
Seorang penyokong muda, Hazrel Amirullah Haslan, 17, berkata, SOP ditetapkan di dalam stadium berjalan lancar dengan pengawalan ketat dan teratur membolehkan penyokong menonton dengan selesa.
“SOP di stadium sangat bagus dengan kawalan ketat oleh pasukan rela.
“Setakat ini, saya berasa selesa bila berada di stadium dan seronok menonton perlawanan yang penuh kejutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Seorang penyokong Kuala Lumpur (KL) Thunder, Hazreen Amreena, 26, pula amat teruja melihat pasukan kesayangannya kembali bangkit selepas kelihatan tercari-cari rentak pada dua minggu pertama.
“Saya gembira apabila KL Thunder berjaya bangkit untuk menang selepas kalah dua kali berturut-turut di awal musim, saya berharap semua pasukan dapat lebih bersemangat untuk memberikan aksi terbaik kepada penyokong.
“Perlawanan minggu ini adalah minggu terakhir di Stadium Titiwangsa dan sudah tentu saya akan pergi memberikan sokongan kepada KL Thunder tidak kira di mana pun,” katanya.
Kelantan Warriors yang cemerlang di awal musim antara pasukan yang berjaya ‘menarik’ ramai penyokong ke stadium, malah alunan lagu-lagu rakyat yang dinyanyikan peminat mereka setiap kali berakhir menjadikan suasana cukup meriah.