MANCHESTER: Manchester United mempamer aksi hambar ketika Wolverhampton memberi kekalahan pertama buat Ralf Rangnick awal pagi tadi.
Jaringan tunggal Joao Moutinho lapan minit sebelum tamat permainan membantu Wolves mengejutkan United 1-0, iaitu kemenangan pertama mereka di Old Trafford dalam tempoh 42 tahun.
Sebagai pemain terbaik dan antara paling senior di atas padang, David de Gea jelas tidak gembira dengan apa yang berlaku.
Penjaga gol berusia 31 tahun itu dilihat sering menjerit ke arah rakan-rakan sepasukan, malah memarahi benteng pertahanan setiap kali pemain Wolves menghampiri gawangnya.
Dia juga kelihatan marah dengan kurangnya pergerakan di depan pintu gol, terutama pemain yang gagal mematuhi arahannya apabila dia menggesa mereka untuk maju.
Kekalahan keenam musim ini menyebabkan United jatuh ke tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris dengan 31 mata, empat mata di belakang pasukan tempat keempat, Arsenal. – AGENSI