LISBON: Pernah meraih pendapatan jutaan ringgit dan merangkul pelbagai kejuaraan sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak, bekas rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Real Madrid dan Portugal, Fabio Coentrao kini menjadi nelayan.
Baru berusia 34 tahun, Coentrao yang menggantung but dua tahun lalu menegaskan, dia tidak malu dengan pekerjaan baharunya, malah sudah lama mahu menceburi bidang tersebut.
Katanya, mencari rezeki di laut adalah pekerjaan yang sudah lama dilakukan keluarga Coentrao dan ia kerjaya yang membanggakannya.
“Kehidupan di laut bukanlah sesuatu yang memalukan seperti difikirkan ramai orang.
“Ia pekerjaan yang sama seperti orang lain. Bukan itu sahaja, laut sangat cantik dan kita memerlukannya.
“Laut pula memerlukan orang untuk bekerja di sini dan kerjaya itu harus dihormati seperti kerjaya lain,” kata Coentrao.
Coentrao memenangi 13 trofi sepanjang kariernya sebagai pemain bola sepak dengan menikmati detik hebat di Madrid apabila memiliki dua gelaran La Liga serta dua gelaran Liga Juara-Juara.
Kehidupan Coentrao mungkin agak singkat berbanding kebanyakan pemain lain tetapi kerana minat, dia menjauhkan diri daripada menjadi tumpuan untuk menikmati minat sebagai nelayan. – AGENSI