LONDON: Legenda Manchester United, Rio Ferdinand percaya, perpindahan ke Sevilla adalah langkah yang amat diperlukan oleh Anthony Martial untuk memulihkan kariernya.
Semalam, penyerang Perancis itu melengkapkan pinjaman ke kelab Sepanyol tersebut sehingga akhir musim ini, malah Sevilla bersetuju untuk membayar gaji penuh Martial.
“Saya rasa Anthony Martial memerlukan perpindahan ini. Dia perlu bermain untuk pasukan utama bersama kelab terbaik, dia perlu bermain sekerap mungkin secara konsisten.
“Sejak setahun lalu atau sebenarnya sudah begitu lama, dia tidak menjadi pemain tetap di Manchester United, jadi dia memerlukan perpindahan ini.
“Saya berminat untuk melihat siapa lagi akan pergi. Selepas ini, mungkin Donny van de Beek juga pergi ke tempat lain, saya nak tahu ke mana destinasinya,” kata Ferdinand.
Sejak menyertai United pada 2015, Martial telah membuat 269 penampilan dan meledak 79 jaringan.
Dia juga membantu mereka menjuarai Piala FA, Piala Liga dan Liga Juara-Juara.
Begitupun prestasi hambar bersama pasukan sejak beberapa musim lalu menyebabkan dia terpaksa ‘dikeluarkan’ dari Old Trafford bagi meningkatkan semula kariernya.
“Martial yang akan memakai jersi No. 22 di Sevilla. Dia hanya pemain kedua di United, jadi kemunculannya dalam Liga Sepanyol amat dinantikan.
“Semua orang di United mengucapkan tahniah kepada anda, Anthony untuk berkhidmat di Sevilla,” tulis Ferdinand.
Sementara itu, Marcus Rashford memberi sokongan kepada Martial dengan mengucapkan ‘selamat maju jaya’ buat rakan sepasukannya. – AGENSI