MELBOURNE: Pemain No. 1 dunia, Ashleigh Barty menamatkan penantian 44 tahun tuan rumah untuk memiliki juara sendiri apabila menumpaskan Danielle Collins untuk menjuarai kejohanan tenis Terbuka Australia, sebentar tadi.
Kemenangan 6-3, 7-6 (7/2) ke atas pencabar dari Amerika Syarikat (AS) itu membolehkan Barty merangkul kejuaraan Grand Slam ketiga dalam kariernya.
Barty, 25, menjadi pemain Australia pertama menjuarai kejohanan itu selepas Chris O’Neil melakukannya buat kali terakhir pada 1978.
O’Neil yang hadir menyaksikan perlawanan tersebut turut memberi sokongan padu, tatkala penonton memenuhi Arena Rod Laver bagi menyaksikan detik bersejarah.
“Pertama sekali saya harus mengucapkan tahniah kepada Danielle dan pasukannya. Saya tahu anda akan terus berjuang dalam beberapa tahun lagi pada masa akan datang.
“Ini pengalaman paling saya gemari. Anda semua memang luar biasa, anda melegakan saya dan mendorong saya memberikan persembahan terbaik,” kata Ashleigh, yang mengucapkan penghargaan kepada semua staf sehingga ke budak pengutip bola.
Dia juga mengakui berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Australia ibarat impian menjadi kenyataan dan bangga menjadi rakyat Australia.
Pada 2017, Ashleigh berjaya menempatkan diri dalam kelompok 20 terbaik dunia dan memenangi kejuaraan sulung WTA di Kuala Lumpur walaupun tampil sebagai pemain kelayakan.
Kejuaraan Grand Slam sulungnya ialah memenangi Terbuka Perancis pada 2019, sebelum merangkul gelaran kedua di Wimbledon pada 2021.