Baharu bukan lauk, muda bukan picisan - Utusan Malaysia

Baharu bukan lauk, muda bukan picisan

Putrajaya Cyborg sudah bersedia meneruskan momentum baik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA Cyborg, pendatang baharu dalam saingan Liga Premier Emas Anuar STL 2021/22, meneruskan rentak cemerlang apabila memperoleh kemenangan ketiga dengan menewaskan Selangor Pistons, Ahad lalu.

Cyborg yang dibarisi pemain berpengalaman Syahril Rosdi (tekong), Muslim Ramli (apit kanan) dan Suhairi Sulaiman (apit kiri) menampilkan ketenangan di bawah bimbingan jurulatih Zulkarnain Mohamed Arif.

Aksi yang dipamerkan pasukan itu membuka mata lawan bahawa mereka tidak harus dipandang enteng dalam persaingan ke takhta liga musim ini.

Biarpun menerima tentangan daripada Pistons, yang berjaya mencuri kemenangan di set kedua, naib juara Divisyen 1 musim lalu itu kembali mendapat rentak permainan, dan mengakhiri pertemuan tersebut dengan kemenangan 23-21di set ketiga.

AKSI Putrajaya Cyborg meraikan mata ketika menentang Selangor Pistons. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Sebagai pendatang baharu Liga Premier, saya kagum terutama dengan aksi Muslim yang banyak membantu pasukan dengan mencuri mata menerusi hadangan-hadangan baik. Ini memberikan amaran buat pasukan-pasukan lain Putrajaya Cyborg mempunyai senjata rahsia iaitu Muslim yang mempunyai kehebatan yang luar biasa.

Biarpun di atas kertas, rata-rata menganggap Selangor Pistons punya kelebihan untuk memenangi perlawanan tersebut, ramalan tersebut salah belaka, dan Cyborg membuktikan walaupun ada persepsi terhadap mereka selaku pasukan baharu, mereka juga dahagakan kejayaan, sama seperti pasukan-pasukan lain.

Bagi Selangor Piston, episod 23 Januari menjadi memori yang mahu dilupakan. Sudah tentu, mereka tidak mahu lagi menghampakan peminat-peminat tegar mereka yang acap kali berbondong-bondong memenuhi stadium setiap kali pasukan pujaan mereka beraksi.

Biarpun gandingan muda dan Khairul Hafifi (apit kanan), Haziq Nizam (tekong) serta Farhan Adam (apit kiri) bermain dengan penuh kesungguhan, dan juga kembalinya Zuhri Zin selepas digantung satu perlawanan setelah menerima dua kad kuning pada aksi minggu kedua, Pistons masih kurang bernasib baik untuk mengutip mata penuh dari perlawanan ini.

Sebenarnya saya juga memuji pengurusan Selangor Pistons atas kesabaran memimpin pasukan mereka, dan juga tidak gopoh dalam membentuk DNA pasukan ini. Gandingan pemain muda dan senior adalah satu adunan yang sangat berani dari aspek menjana Langkah seterusnya dalam meniti persaingan musim ini.

Melentur buluh, biar dari rebungnya. Mungkin buat sepak takraw, inilah langkah sebaiknya.

Penulis adalah bekas pemain kebangsaan, pengacara STL Astro Arena

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya