KUALA LUMPUR: ATM Guardians enggan mendabik dada, walaupun ada dalam kalangan pencabar mula meramalkan naib juara musim lalu itu mampu merangkul gelaran Premier musim ini setelah tiga kali sekadar menamatkan saingan di tangga kedua.
Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah berkata,terlalu awal untuk meletakkan skuad bimbingannya sebagai pasukan pilihan merangkul kejuaraan kerana aksi timbal balik kedua yang menanti anak-anak buahnya bukanlah satu tugas mudah.
“Saya rasa masih terlalu awal, setiap venue kita perlu mencari rentak, seperti di sini (Stadium Titiwangsa) kami berjaya menyesuaikan diri, tetapi apabila perlawanan beralih ke venue lain itu yang berbeza,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Masih segar dalam ingatan Aswadi, apabila dia terpaksa menyaksikan anak-anak buahnya kecundang kesemua perlawanan yang dilangsungkan di Pulau Pinang.
“Pengalaman musim lalu di Pulau Pinang, semua perlawanan kami tewas, jadi perkara seperti ini yang kami tak boleh nak jangka, saya sendiri tak pasti kenapa semuanya serba tidak menjadi.
“ATM mungkin suka dewan yang lebih kecil agaknya berbanding venue di Pulau Pinang yang agak besar kerana jarak tempat duduk penonton dan gelanggang agak besar, jauh sangat,” ujarnya selepas melihat pasukan itu menumpaskan pencabar terdekat, Penang Black Panthers kelmarin.
Aswadi amat berharap skuad bimbingannya dapat membuang badi di Pulau Pinang bagi digantikan dengan kemenangan.
Sebelum aksi di Spice Arena, Bayan Baru, Pulau Pinang, STL terlebih dahulu dilangsungkan di Kompleks Sukan Panji, Kota Bharu, Kelantan dan Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak menjadi destinasi terakhir, manakala di Johor bakal diadakan Piala Juara-Juara.