KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Guardians terus mempamerkan aksi bertenaga apabila mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan kelima Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2021/2022 di Stadium Titiwangsa dekat sini sebentar tadi.
Naib juara premier musim lalu itu bagaimanapun terpaksa berhempas pulas sebelum meraih kemenangan ke atas Negeri Sembilan Antlers 21-15, 17-21, 21-12.
Negeri Sembilan Antlers kelihatan bergelut di set pertama untuk mendapatkan rentak dalam perlawanan itu apabila semua pertahanan dan serangan yang dilakukan dapat dipatahkan oleh ATM Guardians.
![](https://www.utusan.com.my/wp-content/uploads/ATM2-600x400.jpg)
Bermula di set kedua, Negeri Sembilan menunjukkan kebangkitan apabila berjaya memperkemaskan serangan dengan memasukkan pemain gantian, Mohd. Hisham Mat untuk mengatasi ATM 21-17.
Tidak mahu menoleh kebelakang, ATM Guardians terus meninggalkan Negeri Sembilan 14-8 sebelum menamatkan perlawanan itu 21-12 selepas mempamerkan aksi lebih kemas ke atas pasukan lawan.
ATM Guardians akan menentang juara divisyen 1 musim lalu, Bomba Fighters esok pada pukul 5 petang dalam misi mencari kemenangan keenam berturut-turut musim ini.