KUALA TERENGGANU: Siti Nur Alia Mansor melakar sejarah sebagai pelumba wanita Asia Tenggara pertama bakal menyertai jelajah basikal profesional dunia dengan menyertai pasukan berpangkalan di Sepanyol, Canyon-SRAM Racing.
Berusia 21 tahun, anak jati Terengganu itu satu-satunya pelumba wanita Malaysia akan berkayuh dalam Jelajah Dunia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Kata Nur Alia, kontrak setahun bersama pasukan ranking kelima dunia itu ibarat ‘impian menjadi nyata’, malah mencerahkan peluangnya untuk memburu tiket ke Sukan Olimpik pada masa akan datang.
Katanya, kepercayaan yang diberikan jurulatih, Adam Szabo tidak mahu disia-siakan, sebaliknya berjanji untuk memberikan aksi terbaik jika berpeluang terlibat dalam perlumbaan pertama di Sepanyol, Mac depan.
“Tawaran diterima Jun tahun lalu dan saya mengambil masa hampir dua bulan sebelum bersetuju mengembangkan bakat ke Eropah.
“Peluang berguru dengan pelumba elit dunia pastinya akan meningkatkan lagi prestasi saya, malah tujuh pelumba Canyon-SRAM merupakan atlet Olimpik negara masing-masing.
“Itu sekali gus menguatkan motivasi saya untuk mengikut jejak langkah mereka,” katanya semalam.
Kejayaan Alia turut membolehkannya menerima insentif RM3,000 daripada Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah di Wisma Darul Iman semalam.
Sementara itu, Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) turut bersetuju mengekalkan elaun bulanan RM1,500 kepada Siti Nur Alia.
Katanya, pasukan berbasikal yang ditubuhkan di Jerman itu sedia membenarkan atlet berkenaan pulang pada April atau Mei bagi menyertai Sukan Malaysia (Sukma) pertengahan tahun ini.
“Besar harapan kita agar dia dapat mengutip pengalaman berharga selain mengharumkan nama negeri dan negara di persada dunia,” katanya.