LEIPZIG, Jerman: Kyle Walker dilayangkan kad merah ketika Manchester City dikejutkan 2-1 oleh RB Leipzig dalam aksi Liga Juara-Juara pagi tadi.
Kekalahan itu bagaimanapun tidak menjejaskan City yang sudah meraih tiket peringkat 16 akhir selaku juara Kumpulan A.
Walaupun Paris Saint-Germain (PSG) menang besar 4-1 ke atas Club Brugge dalam satu lagi perlawanan, namun City mengatasi gergasi Perancis itu menerusi kelebihan satu mata.
Dalam aksi di Red Bull Arena, Walker dibuang padang tujuh minit sebelum tamat permainan selepas menendang Andre Silva, yang meledak gol kedua tuan rumah selepas Dominik Szoboszlai membuka jaringan Leipzig pada babak pertama.
“Hari ini kami membuktikan, dengan keberanian dan keazaman kami mampu menewaskan sesiapa saja,” kata Szoboszlai.
Sebelum Walker dibuang padang, City merapatkan jurang menerusi Riyad Mahrez, yang menewaskan penjaga gol Leipzig, Peter Gulacsi menerusi tandukan selepas beberapa kali dia menyelamatkan gawang tuan rumah.
Walker terlepas aksi pertama pusingan 16 terakhir akibat penggantungan.
Biarpun gagal meneruskan kemaraan ke pusingan 16 akhir Liga Juara-Juara, namun Leipzig akan beraksi dalam Liga Europa selaku pasukan tangga ketiga. – AFP