PARIS: Max Verstappen memiliki peluang besar untuk mempertahankan kejuaraan Formula Satu (F1) dunia musim depan selepas pesaing Red Bull, Mercedes bakal melakukan perubahan dalam barisan pelumba.
Pandangan itu disuarakan penasihat sukan Red Bull, Dr. Helmut Marko, yang mengulas mengenai keputusan prinsipal Mercedes, Toto Wolff menggantikan pelumba veteran, Valtteri Bottas kepada pemandu muda dari Williams, George Russell.
“Pertama sekali kita perlu melihat bagaimana kelajuan sebenar Russell. Dalam saingan kelayakan tahun ini dia sangat bagus.
“Bagaimanapun dalam perlumbaan dia jarang mengatasi Nicholas Latifi, jadi kita harus melihat bagaimana kelajuannya pada saingan sebenar.
“Jika dia tidak dapat menyamai kelajuan (Lewis) Hamilton, ia mungkin membantu kami,” ujar Marko.
Marko pegawai tertinggi Red Bull di samping Christian Horner, turut menjelaskan pandangan dalam kenyataan awalnya bahawa Wolff seorang yang gagal kerana cepat mengaku kalah dalam pemburuan kejuaraan dunia tahun ini.
Bagaimanapun dia berpendapat di sebalik pelbagai peraturan baharu yang diperkenalkan, Red Bull dan Mercedes akan terus bersaing hebat musim depan. – AGENSI