MANCHESTER: Ralf Rangnick terkejut melihat betapa bagusnya Manchester United memberi tekanan kepada Crystal Palace sambil memuji Cristiano Ronaldo kerana gigih membantu pertahanan ketika pasukan itu menang 1-0 di Old Trafford semalam.
Jaringan Fred pada minit ke-78 menghadiahkan kemenangan sempurna buat Rangnick yang melatih United untuk tempoh singkat sebelum memulakan tugas sebagai pengurus sementara buat kali pertama.
Rangnick hanya sempat mencatur strategi dan taktik bersama pemainnya selama beberapa minit selepas sesi latihan pertamanya di Carrington kelmarin diganggu hujan.
“Kami tidak menjalani latihan penuh semalam kerana disebabkan hujan selama 45 minit. Hujan sangat lebat dan berangin, jadi hampir mustahil untuk fokus dalam latihan.
“Saya terkejut melihat betapa positifnya keadaan fizikal dan intensiti pasukan. Separuh masa pertama sangat menakjubkan, namun satu-satunya perkara yang kurang, kami tidak menjaringkan gol yang sepatutnya.
“Tekanan yang dilakukan pasukan cukup luar biasa, cara kami bertahan, mengawal permainan dan paling penting tidak dibolosi,” katanya.
Ketika ditanya mengenai peranan penyerang veteran Portugal, Ronaldo, Rangnick berkata, pemain itu tidak hanya memberi sumbangan kepada jentera depan.
“Usaha yang dilakukan Cristiano Ronaldo sepanjang perlawanan cukup baik. Tidak hanya bermain di bahagian serangan, malah dia turut membantu pertahanan,” kata Rangnick.
Kemenangan itu memastikan United tidak kalah dalam empat perlawanan sejak pemecatan Ole Gunnar Solskjaer, malah mereka juga mendaki ke kedudukan keenam liga dengan tiga mata dipisahkan dari pasukan tangga keempat, West Ham. – AGENSI