BEIJING: Jawatankuasa Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 tidak memberi jaminan temasya berkenaan yang akan berlangsung di Beijing dari 4 hingga 20 Februari akan bebas daripada wabak Covid-19.
Pelbagai langkah dilaksanakan penganjur dan kerajaan seperti menganjurkan pertandingan dalam gelembung sukan, selain individu yang tidak lengkap menerima vaksin Covid-19 perlu menjalani kuarantin 21 hari.
Mereka juga hanya membenarkan kehadiran penyokong dalam kalangan rakyat tempatan dan venue tidak dibuka buat pelancong atau warga asing.
Timbalan presiden jawatankuasa tersebut, Han Zirong mengakui, meskipun beberapa langkah sudah ditetapkan sebagai panduan tetapi jangkitan Covid-19 masih sukar dicegah, terutama melibatkan atlet dan pegawai.
“Kita jangkakan puluhan ribu atlet dan pegawai datang ke China sepanjang bulan depan dan sudah tentu kehadiran mereka semua menambahkan risiko penularan wabak Covid-19 yang kini mempunyai varian baharu.
“Apa yang kami risau adalah jika terdapat sebilangan kes positif berubah menjadi skala besar dan keadaan menjadi tidak terkawal.
“Cuma, saya harap kerisauan ini tidak menjadi realiti kerana apa yang penting kesihatan atlet dan pegawai,” katanya. – AGENSI